Kampung Pangkal Petai diberi nama semenjak 1880 sempena Pokok Petai yang tumbuh liar, rendang dan mengeluarkan buah yang lebat di kawasan ini. Lebih seabad yang lalu, Hutan Cerang di kawasan ini telah terbakar, hangus keseluruhan sehingga menjadi sebagai padang, hanya yang tinggal ialah sebatang pokok petai, serumpun rotan sega dan sebatang pokok merkel dan ditempat yang rendah dimana air bertakung menjadi hijau warnanya.
Peristiwa ini diketahui oleh satu keluarga dari Kemuning yang terdiri dari Haji Abdullah yang bijak lagi lebai. Tok Besar yang gagah, Tok Sulaiman yang berani dan pandai bermain senjata dan Tok Senik yang bijak menjadi penghulu telah bersetuju menjadikan penempatan dan mereka menamakan kawasan ini sebagai Kampung Cherang Hangus, Kampung Sega, Kampung Pangkal Petai, Kampung Merkel dan Kampung Air Hijau.